Sumber alam semula jadi cantikkan kulit

Cemburu dengan rakan yang berpeluang memanjakan diri di spa? Pastinya anda bertambah cemburu apabila melihat ramai sahabat media sosial memuat naik gambar produk penjagaan wajah ratusan ringgit di Instagram.

Kenapa harus cemburu jika manfaat yang mereka peroleh dengan nilai ratusan ringgit boleh dinikmati hanya dengan menggunakan barang yang ada di dapur secara bijak?

Hakikatnya, mereka yang harus cemburu kerana terpaksa menggunakan produk di pasaran yang belum diketahui sejauh mana organik dan semula jadinya kandungan bahan terbabit.

Cuba kita lihat khasiat dan kegunaan barangan dinyatakan ini. Mana tahu ia sesuai dan bertepatan dengan keperluan anda saat ini!

 

DAUN LIDAH BUAYA

Ramai yang mengakui sifat melembap yang dimiliki daun lidah buaya atau aloe vera. Selain melembap, ia berkesan menangani masalah pigmentasi. Bukan itu saja, aloe vera sebenarnya boleh merangsang pertumbuhan sel kulit baru. Hanya sapukan gel aloe vera atau jusnya pada permukaan yang bermasalah dan biarkan ia selama 30 minit. Amalkan petua ini dua kali sehari dan lihatlah betapa segar dan berserinya kulit wajah anda selepas sebulan!

 

PISANG

Pisang mempunyai kelebihan sebagai pelembap semula jadi untuk kulit muka anda. Hancurkan sebiji pisang dan jadikan masker wajah dan leher. Biarkan selama 10 hingga 20 minit dan bersihkan dengan air sejuk. Anda juga boleh campurkan pisang lenyek dengan suku cawan yogurt asli dan dua sudu makan madu untuk hasil yang lebih maksimum.

 

DAUN PARSLI

Untuk ton kulit yang tidak sekata serta mempunyai tompok hitam, daun parsli amat berkesan untuk memudar dan mencerahkan. Sediakan satu cawan daun parsli yang dicincang, setengah sudu teh serbuk penaik, satu sudu yogurt. Campurkan semua bahan ini dan sapukan sebagai masker untuk muka, leher dan dada selama 15 minit, kemudian bilas. Ulang dua kali seminggu.